Skip to main content
Berita TimurTerengganu

“La Kapaz” Membangkit Aura “Marang Hebak Tobat Pong”

By 2 Mac 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: RA Othman (Marang) 

MARANG, 2 Mac (Malaysiaaktif) – “Marang Hebak Tobat Pong” nampaknya jelas telah memberi aura positif kepada warga Marang yang kini dilihat semakin maju dan ke depan dalam pelbagai aspek.

Slogan spontan ini berterusan memberi inspirasi untuk terus membangunkan kemajuan serta idea-idea yang boleh mengembangkan ekonomi dan sektor perindustrian terutama industri pelancongan di daerah bertuah ini.

Hebahan gotong-royong jamuan perdana La Kapaz.

Hebahan gotong-royong jamuan perdana La Kapaz.

Bagi memastikan pembangunan ini berjalan lancar, sekali lagi Pejabat Daerah dan Tanah Marang (PDTM) telah menganjurkan program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Pulau Kapas bagi memastikan keberadaan pulau ini tidak sunyi dan sentiasa “berlagu” di hati dan fikiran orang ramai.

Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata program ini seolah memberi nafas baharu kepada Pulau Kapas kerana pelbagai usaha dilaksanakan supaya aktiviti dan program-program kemasyarakatan dapat bertapak di sini.

Penglibatan komuniti dari sekitar daerah Marang memeriahkan program yang dianjurkan oleh PDTM.

Penglibatan komuniti dari sekitar daerah Marang memeriahkan program yang dianjurkan oleh PDTM.

“Pembukaan tahun 2020 kali ini dengan program kemasyarakatan telah memberi semangat dan pembaharuan semula kepada Pulau Kapas. Kita namakan “La Kapaz” kerana sebutan “La” itu memberi maksud “the” yang menunjukkan pulau kapas hanya satu dan tidak sama dengan pulau-pulau lain di Terengganu mahupun di negara kita.

Program Gotong-royong Jamuan Perdana “La Kapaz” adalah kesinambungan daripada program gotong-royong yang telah diadakan pada Oktober 2019 yang lalu.

Peserta program bergotong-royong melapah daging lembu untuk jamuan perdana.

Peserta program bergotong-royong melapah daging lembu untuk jamuan perdana.

Program ini berlangsung selama dua hari bermula pada 28 Februari dan berakhir pada 29 Februari. Selain gotong-royong jamuan perdana, program kerohanian seperti kuliah maghrib dan motivasi turut diadakan bagi mengisi aktiviti pada waktu malam.

Selain Pulau Kapas, beberapa buah destinasi lain seperti Merchang, tersenarai dalam perancangan untuk terus dilakarkan pembangunan mengikut keistimewaan tempat itu sendiri.

Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal memerhati Timbalan Ketua Polis Daerah Marang menyiapkan lakaran replika petunjuk arah lokasi.

Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal memerhati Timbalan Ketua Polis Daerah Marang menyiapkan lakaran replika petunjuk arah lokasi.

“Lestari Merchang adalah komuniti yang akan membangunkan Kampung Merchang menjadi destinasi “eksplorasi edu-tourism” iaitu satu tempat tarikan pelancongan dan rujukan serta kajian para pelajar tentang hidupan marin, alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Ini adalah satu cara untuk menjana pendapatan untuk komuniti itu sendiri”, tambah Tun Faisal yang turut merancang membangunkan rumah penginapan di situ.

Kejayaan PDTM merangkul anugerah Daerah Penyumbang Kepada Industri Pelancongan Terbaik semasa Malam Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu (APKT) 2018/2019 lalu sekaligus membuktikan Marang bukanlah daerah biasa-biasa dalam mengatur pembangunan pelancongannya, bahkan anugerah inilah memberi semangat dan suntikan lebih kuat untuk Marang kembali berpotensi menjadi daerah hebat dan dikenali ramai.

-ii-

Tinggalkan komen anda