
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/RTM Labuan (Labuan)
LABUAN, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 400 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpul dalam tempoh dua jam di Pantai Tanjung Kubong, menerusi Program Sinergi Labuan FM : Jom! Bersihkan Pantai Kita.
Program yang disertai 100 peserta anjuran Jabatan Penyiaran Labuan itu memberi peluang kepada penyampai-penyampai Radio Labuan FM untuk menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Menurut Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek, keprihatinan penyampai-penyampai dan kakitangan Labuan FM sedikit sebanyak membantu untuk memupuk kesedaran orang ramai terhadap isu alam sekitar.
“Program ini bertujuan menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan menjaga alam sekitar kepada komuniti dan secara tidak langsung sebagai aktiviti beriadah.
“Selain itu, program ini menampilkan dan menghayati ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan memupuk semangat budaya tolong menolong, bantu membantu sesama masyarakat serta berganding bahu dengan agensi kerajaan yang lain serta swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya semasa ditemui selepas program itu kelmarin.
Menurut Fauziah, program ini juga katanya secara tidak langsung dapat mendekati pendengar sekali gus mempromosikan program-program RTM selain mendapatkan maklum balas pendengar mengenai siaran Labuan FM.
“Program ini mendapat kerjasama dari Jabatan Muzium Labuan, Muzium Chimney, penuntut Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha.
“Kita berharap pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO dapat bersama-sama menjaga kepentingan alam sekitar demi kelestarian hidup bukan sahaja hidupan marin malah penduduk di sekitarnya,” jelasnya lagi.
Hadir sama, Pengarah Muzium Labuan Rohana Husin, Penolong Pengarah Muzium Labuan Muhammad Nazli Ho, dan Guru SMK Rancha-Rancha Awang Sofian Awang Mohdzar.
-SH