
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Zoo Negara menjalani sanitasi awam nyah kuman dalam usaha membendung penularan virus Covid-19, hari ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Mutalib, berkata sanitasi tersebut hanya melibatkan kawasan tumpuan awam dan tidak dilakukan terhadap haiwan-haiwan di zoo tersebut.
“Sanitasi ini melibatkan tempat awam yang sering menjadi tumpuan seperti pintu masuk, laluan dan kawasan perumahan sekitar zoo ini.
“Bahan kimia yang digunakan diyakini tidak akan memberi kesan kepada haiwan-haiwan ini,” katanya ketika turun padang menyaksikan Operasi Sanitasi Awam Zoo Negara, di sini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata sehingga semalam, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi-agensi lain telah melaksanakan sebanyak 2,284 operasi telah dilaksanakan di seluruh negara termasuk di 27 kawasan zon merah.
“Operasi mengutamakan kawasan zon merah dan menyasarkan operasi nyah cemar itu di seluruh kawasan termasuk zon jingga, kuning dan hijau.

Datuk Seri Ismail Abd Muttalib menyampaikan taklimat ringkas kepada petugas-petugas dalam operasi sanitasi awam di Zoo Negara, hari ini.
“Ianya melibatkan 1,575 bangunan kerajaan, 947 tempat awam, 970 pusat perniagaan, 767 kawasan perumahan dan 183 pasaraya.
“Keutamaan kita adalah di zon merah dan akan mengulangi proses sama dalam usaha mengawal penularan Covid-19,” katanya.
Ismail berkata pihaknya berharap masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan sehinggan 28 April ini untuk keselamatan rakyat.
“Rakyat perlu insaf bahawa PKP ini bukan untuk menyusahkan kita, tetapi sayangkan kita kerana tidak mahu masyarakat terdedah dengan Covid-19 ini.
“Kesannya cukup buruk sekali, tidak seperti penyakit-penyakit lain yang ada ruang untuk dirawat, tolonglah hormati dan patuhi peraturan untuk keselesaan dan keselamatan kita semua,” katanya.
Operasi itu diketuai Ketua Zon 4 Hulu Langat, JBPM Selangor, Penguasa Bomba Kanan 1 (PgKB 1) Shahrin Yusmar Mat Yusof melibatkan 70 anggota termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Alam Flora, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Penerangan Selangor.
-NAZ