
Laporan/foto: Fasharina Kholil (SIK)/APM Sik
SIK, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Dua sahabat maut selepas disambar petir di depan rumah, dalam kejadian ribut di Kampung Hujung Bechah, di sini semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Mohd Zulkifli Kasim, 46, dan Idrus Ahmad, 36, sedang berehat di bangsal di depan rumah mereka.
“Maklumat awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat disambar petir.
“Jenazah mereka sudah dihantar ke Hospital Sik untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Haisul Aishah memaklumkan, kejadian ribut yang bermula kira-kira pukul 4.20 petang itu juga membadai beberapa kampung sehingga menyebabkan kerosakan kepada puluhan rumah penduduk, premis perniagaan, sekolah dan juga beberapa fasiliti di Hospital Sik.
“Sebanyak 27 buah rumah di Mukim Sik dan 10 buah di Mukim Teloi terjejas akibat daripada ribut tersebut, antara rumah penduduk yang terjejas ialah di Kampung Tanjung, Kampung Sena, Kg Charok Tok Uban dan juga Beris Jaya. Namun begitu, tiada pusat pemindahan dibuka.
“APM telah membuat tinjaun serta memberikan bantuan kepada mangsa yang terlibat,” jelasnya lagi.
-SH