Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Empat LRA Henti Tugas, Gangguan Bekalan Air di Tujuh Wilayah

By 17 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Air Selangor

SHAH ALAM, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 11.00 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som, berkata henti tugas keempat-empat LRA ini terpaksa dilakukan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

“Sehingga jam 6 pagi ini, bacaan pencemaran bau telah berada di paras 0 Ton dan kesemua loji telah kembali beroperasi semula pada jam 6.30 pagi ini.

“Tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya, telah mempercepatkan aliran air yang tercemar ke hilir Sungai Selangor sehingga tiada lagi pencemaran bau dikesan pada muka sauk keempat-empat LRA tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku berikutan penurunan paras kolam-kolam utama di kawasan-kawasan tersebut.

“Ianya meliputi 1,292 kawasan melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan-kawasan gangguan bekalan kepada para pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk twitter, facebook, instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Dalam tempoh ini para pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda