
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak
GOMBAK, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menutup tiga lagi jalan dalam kawasan pentadbirannya bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata tujuan jalan-jalan berkenaan ditutup untuk membendung penularan wabak Covid-19 di kawasan terbabit.
“Jalan Selayang Baharu laluan masuk ke Apartment Selayang Makmur ditutup dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu laluan dari Rawang menghala ke Kuala Lumpur melalui Jalan Ipoh – Jalan Batu Caves – Jalan Sungai Tua – Selayang Baharu – Selayang Makmur.
“Jalan Besar Selayang Indah menghala ke Pasar Borong Selayang turut ditutup dan masyarakat sekeliling disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu dari Jalan Besar Kampung Selayang Indah – Jalan 3 Kampung Selayang Indah – Jalan Selayang Baharu.
“Turut ditutup adalah Jalan Besar Selayang Baharu menghala ke Pasar Borong Selayang dan orang ramai digalakkan mengguna laluan alternatif dari Selayang Baharu – Kampung Selayang Indah – Jalan Selayang Baharu,” katanya.
Katanya, pihak polis menyarankan agar masyarakat sentiasa mematuhi peraturan dalam tempoh PKP serta sentiasa duduk di rumah agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.
Terdahulu, pada 1 April, Arifai memaklumkan sembilan lokasi susur jalan dan simpang ditutup secara berperingkat di daerah Gombak susulan lanjutan PKP sehingga 14 April ini sebagai langkah proaktif mengetatkan lagi arahan berkenaan.
-SH