
Laporan/foto: M. Zakry Chan/FB JaPen Melaka
MELAKA, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 90 program hebahan bergerak berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan Jabatan Penerangan Negeri Melaka (JaPen Melaka) melibatkan 600 lokasi sejak 18 Mac lalu hinggalah 18 April.
Pengarah Penerangan Melaka Mohd Rizal Hashim, berkata hebahan kali ini lebih menumpukan kepada maklumat berkaitan PKP yang kini telah memasuki fasa ketiga.
“Menerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Japen Melaka telah bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan rakyat negeri Melaka mendapat maklumat dan mematuhi arahan PKP.
“Malah Ketua Menteri turut meminta usaha hebahan ini terus dipergiat di lokasi-lokasi tumpuan terutamanya di kawasan penempatan nelayan, dan beberapa kawasan luar bandar yang dilihat masih terdapat segelintir masyarakat yang ingkar dan tidak mematuhi arahan PKP,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Menurut Rizal, sehingga semalam (18 April), sebanyak 29 lokasi kawasan persisir pantai yang kebanyakan merupakan lokasi penempatan nelayan telah dijelajahi oleh pasukan hebahan JaPen Melaka
“Secara keseluruhannya, tahap pematuhan PKP di negeri ini mencapai angka 90 peratus sepertimana yang dimaklumkan oleh Ketua Polis Melaka.
“Namun, usaha hebahan PKP ini perlu diperkemas dan dilaksanakan secara lebih agresif terutamanya bagi menempuh fasa ketiga ini yang merupakan pusingan akhir dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19 ini,” katanya lagi.
Rizal turut memaklumkan sebanyak empat Unit Bergerak Jabatan digunakan untuk menjelajah di tiga kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“JaPen akan terus membantu pihak keselamatan negeri dan bersama-sama memastikan semua rakyat di negeri ini mematuhi arahan PKP.
“Pihak kami berharap agar orang ramai tidak memandang remeh arahan yang dikeluarkan kerajaan untuk sentiasa berada di rumah kerana PKP ini adalah usaha bagi memutuskan rantaian COVID-19 dari terus merebak,” tambahnya.
Pada masa sama, JaPen Melaka turut berkolaborasi dengan pelbagai agensi seperti Melaka FM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dalam menyediakan naratif penyampaian mesej memerangi berita palsu serta hebahan hukuman yang bakal dikenakan kepada masyarakat yang mengingkari arahan PKP ini.
-SH