
Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Kira kira 5, 000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di sini disenaraikan untuk menerima bantuan keperluan harian sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pertengahan bulan lalu.
Ketua Unit Kebajikan Pejabat DUN Bandar, Syed Abu Bakar Sidik Syed Muhamad, berkata kebanyakan penerima ialah mereka yang bekerja sendiri, bekerja dengan gaji harian, ibu tunggal dan golongan miskin.

Syed Abu Bakar Sidik (kanan) dan petugas menyusun barangan untuk diagihkan kepada penerima di Pejabat DUN Bandar, Chabang Tiga, di sini.
“Bantuan barangan keperluan harian yang disediakan oleh pihaknya ialah beras, gandum, sardin, bihun, gula, teh, sirap, biskut, minyak masak, kicap, telur, sambal ikan bilis dalam tin dan kari ayam dalam tin,” ujar beliau.
Bagaimanapun, setiap penerima hanya menerima lima hingga enam jenis barangan sahaja bergantung kepada bekalan yang diterima.
Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya mengagihkan barangan mengikut fasa bergantung kepada kawasan yang ditetapkan dan sehingga kini, empat fasa telah diselesaikan dan menjangkakan semua agihan iaitu fasa lima (fasa terakhir) akan selesai pada Ahad atau Isnin depan.
“Setelah selesai semua fasa, pihak kami mungkin akan mengagihkan bantuan barangan bagi pusingan kedua dan bagaimanapun bergantung kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Syed Abu Bakar menambah, semua barangan diperolehi daripada pemborong kecuali sardin, ikan bilis dalam tin dan kari ayam dalam tin yang diperolehi daripada syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu, Pertima Terengganu Sdn.Bhd.

Petugas Pejabat DUN Bandar mengangkat kotak yang mengandungi makanan dalam tin untuk diagihkan kepada orang ramai yang terkesan dengan PKP.
Selain itu, Pejabat DUN Bandar turut mengagihkan ikan seperti ikan aya dan ikan cencaru kepada penerima.
“Semua barangan yang telah dibungkus akan diserahkan kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan mereka bertanggungjawab untuk mengagihkan kepada penerima yang telah dikenalpasti di kawasan masing-masing,” kata Syed Abu Bakar.
Pengerusi MPKK Kampung Losong Masjid dekat sini, Wan Musa Wan Endut berkata, beliau akan menelefon penerima dan meminta mereka hadir ke rumah beliau untuk mengambil barangan, manakala bagi mereka yang uzur, beliau akan menghantar sendiri barangan itu ke rumah penerima.
Seorang penerima, Hamdan Embong, 54, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana menerima bantuan makanan.
Beliau yang juga bapa kepada empat orang anak, bekerja di bengkel kimpalan amat merasai kesusahan dan kesukaran sepanjang PKP dan bantuan yang diterima mampu memberi kelegaan kepada beliau dan keluarga.
-ii-