
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,175 kenderaan dikesan cuba merentas negeri diarah berpatah balik semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk melupakan hasrat merentas negeri untuk balik kampung kerana ia sudah tentu menyusahkan diri sendiri apabila diarahkan untuk berpatah balik.
“Ini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia berdegil untuk balik kampung… semalam juga sebanyak 1,175 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM.
“Walaupun pelbagai nasihat dikeluarkan dan pihak polis mengarahkan untuk patah balik dan memberi nasihat,” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
Dua hari lepas, sebanyak 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri telah diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut menyatakan PDRM telah mengadakan 148 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 156,096 kenderaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN sekiranya perlu meminda undang-undang di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), yang membolehkan tindakan diambil terhadap ibu bapa dan penjaga yang masih berdegil membawa kanak-kanak di bawah usia 12 tahun ke tempat awam.
“Kita dengar masih ramai bawa anak-anak kecil ke shopping-shopping complex. Perkara ini melibatkan perundangan. Kalau nak ambil tindakan kepada ibu bapa mereka, mesti ada dalam undang-undang ataupun peraturan di bawah Akta 342,” katanya.
— BERNAMA