Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PKPD Selayang Baru: Kawalan Keselamatan Sentiasa Dipertingkat

By 3 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Pihak polis memaklumkan kawalan keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) Selayang Baru sentiasa dipertingkatkan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kawalan keselamatan 24 jam di kawasan tersebut melibatkan rondaan anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ianya termasuk pemantauan menggunakan dron dan anjing pengesan (K9) ketika mengadakan rondaan di kawasan itu.

“Sehingga kini hanya berlaku satu kes cubaan meloloskan diri dari kawasan PKPD Selayang Baru melibatkan dua orang warga asing, namun berjaya ditangkap pada hari yang sama.

“Selepas itu tiada lagi aduan cubaan untuk meloloskan diri,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

Katanya, pihaknya turut mendapat kerjasama bersepadu daripada pelbagai agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.

Pada 25 April lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD ketujuh dilaksanakan di Selayang Baru yang dibahagikan kepada enam parcel sehingga 3 Mei.

Ianya melibatkan Zon A (Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru) dan Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru).

Selain itu, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru), Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru) dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).

-NAZ

Tinggalkan komen anda