Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Polis Tumpaskan Geng Curi Tong Gas

By 3 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif mencuri tong gas di premis-premis sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pada 30 April pihaknya menerima aduan daripada pemilik sebuah restoran di Taman Industri Bolton, Batu Caves mengenai kehilangan 20 buah tong gas.

“Pengadu memaklumkan terdapat kesan pecah masuk dan kehilangan tong-tong gas di restoran miliknya.

“Pengadu turut memaklumkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di restorannya menunjukkan tiga lelaki sedang mengisi tong-tong gas ke dalam sebuah van jenis Nissan Vannette,” katanya.

Berdasarkan maklumat tersebut, Arifai berkata, pihaknya telah membuat pemerhatian terhadap sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang mencurigakan dinaiki tiga lelaki di Taman Sri Selayang seterusnya menangkap pemandunya setelah berlaku pergelutan.

“Suspek memaklumkan telah menjual tong gas tersebut di Selayang Baru dan pihak polis telah ke satu alamat untuk menangkap seorang lagi suspek.

“Hasil soal siasat, pada 1 Mei lebih kurang 8 malam pihak polis yang dipandu arah oleh suspek menunjukkan lokasi van Nissan Vannete iaitu di tepi Jalan 52A Selayang Baru.

“Soal siasat selanjutnya, pihak polis yang dibawa suspek ke alamat Jalan Indah 11 Taman Selayang Indah untuk menunjukkan rakan sejenayah dan berjaya menangkapnya,” kata beliau semasa sidang media di IPD Gombak, Bukit Idaman semalam.

Arifai berkata pihaknya berjaya merampas 36 buah tong gas berwarna merah (10) dan kuning (26) van Toyota Vannette dan kereta Toyota Harrier.

“Mereka (suspek) berumur 26 hingga 40 tahun akan masuk ke premis seperti restoran, kedai dobi, tadika dan bengkel dengan sasaran  mengambil tong gas untuk dijual semula.

“Polis percaya dengan penangkapan lima suspek berkenaan dapat menyelesaikan 14 kes membabitkan pecah kedai, restoran dan dobi yang menyasarkan tong-tong gas di kawasan pentadbiran IPD Gombak.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) iaitu pecah masuk rumah dan semua suspek direman selama lima hari bermula hari ini,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda