Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Waktu Operasi Mesin ATM Kembali Seperti Biasa Mulai Esok

By 31 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Waktu operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan kembali seperti biasa mulai esok bagi memudahkan orang ramai membuat urusan perbankan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun orang ramai mesti mematuhi penjarakan sosial ketika berurusan di mesin ATM, katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Waktu operasi mesin ATM sebelum ini dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli PKPB oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pada 19 April, kerajaan mengumumkan waktu operasi ATM hanya akan bermula 8 pagi sehingga 8 malam berbanding 24 jam sebelum ini bagi mengawal pergerakan orang ramai sepanjang tempoh PKP.

Langkah itu susulan laporan Polis Diraja Malaysia bahawa ramai orang memberi alasan ingin mengeluarkan wang di mesin ATM 24 jam untuk keluar dari rumah termasuk ketika lewat malam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Aplikasi MySejahtera akan memperkenal fungsi baharu MySejahtera Check-In bagi pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur ke premis-premis perniagaan termasuk kilang, tapak pembinaan dan pejabat

Katanya MySejahtera Check-In boleh digunakan bermula Selasa (2 Jun) di tiga premis AEON.

“Ini juga berfungsi membantu kerajaan dalam pengurusan dan pengawalan jangkitan wabak COVID-19 sewaktu pengoperasian semula ekonomi negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata aplikasi MySejahtera yang dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri, telah mempunyai 770,216 pendaftaran dan 929,276 penilaian kesihatan.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya memuat turun aplikasi itu di Galeri Aplikasi Mudah alih Kerajaan Malaysia (GAMMA) melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda