
Laporan/foto: Shameelawati Shaari/Ahmad Norhaizam Ahmad Rosli (Perlis)
ARAU, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Geran Penyelidikan TVET Applied Research Grant Scheme (T-ARGS) merupakan salah satu usaha Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Skim Geran Penyelidikan TVET bagi mewujudkan pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada pembangunan negara.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin(PTSS), pemberian geran ini secara tidak langsung dapat menggalakkan pensyarah melakukan penyelidikan dan inovasi bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“PTSS telah menerima dua geran daripada 14 projek penyelidikan yang telah diluluskan bagi fasa 2020 ini.
“Antara penerimanya ialah projek Development of Real-Time Monitoring System for Pest and Disease Control in Mango Farm using Integration of Mobile Robot and IoT Technology yang menerima geran berjumlah RM57,000,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan, di sini, semalam.
Geran penyelidikan berjumlah RM57,000 ini diketuai oleh Mohd Amirul Johari bersama ahli-ahlinya yang terdiri daripada Hashimi Lazim, Dr. Syahrul Hi-Fi Syam Ahmad Jamil, Ts. Erdy Sulino Mohd Muslim Tan dan Mohd Yuzaidi Azmi.
“Geran kedua pula melibatkan projek penyelidikan Sistem Penimbang Ikan Bersepadu dengan nilai geran yang diterima sebanyak RM66,000.
“Ketua penyelidik bagi projek ini ialah Mohd Zahri Jaafar dibantu oleh Nazni Hani Arshad, Azahar Mohd Noor, Muffili Mahadi dan Noor Fadzilah Mahamad,” tambah kenyataan itu.
Penyelidikan ini diharap dapat meningkatkan kolaborasi yang berfokus dan pemindahan teknologi yang bersesuaian untuk membantu meningkatkan PKS serta sebagai platform perkongsian ilmu kepada pendidik dan juga komuniti yang berkepentingan.
Majlis penyerahan Geran Penyelidikan TVET Applied Research Grant Scheme (T-ARGS) 2020 secara dalam talian ini telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Mohammad Naim Yaakub Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
-NI-