Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Taman Ular & Reptilia Sungai Batu Pahat Kembali Dibuka Kepada Orang Ramai

By 11 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Muhamad Zikri Wan Kamis (Perlis)

KANGAR, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Taman Ular & Reptilia Sungai Batu Pahat kembali dibuka kepada orang ramai sejak ia ditutup pada 18 Mac lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh Malaysia.

Menurut petugas Taman Ular & Reptilia Sungai Batu Pahat Azmilah Kasim, pengunjung berpeluang melawat taman ini setelah ia ditutup hampir tiga bulan namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Para pengunjung akan diperiksa suhu badan terlebih dahulu di mana hanya suhu di bawah 37.5 darjah Celsius dan berumur 6 tahun hingga 60 tahun sahaja dibenarkan masuk.

“Mereka perlu memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan, mengamalkan penjarakan sosial serta melengkapkan maklumat diri di dalam buku log,” katanya.

Azmilah memaklumkan, taman ini akan beroperasi pada setiap hari bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang termasuk cuti umum dan harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak RM6.00 bagi dewasa dan RM3.00 bagi kanak-kanak.

“Di taman ini, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis haiwan reptilia termasuk buaya dan 218 ekor ular dari 54 jenis spesis dari dalam dan luar negara.

“Pengunjung juga boleh melawat ke Taman Bunga Matahari, Bustana Kucing yang menempatkan kucing-kucing jalanan serta “petting zone” yang menyediakan peluang kepada pengunjung untuk memberi makan kepada arnab dan ayam serama,” ujarnya.

Pembukaan semula pusat pelancongan terkenal di Negeri Perlis ini adalah selaras dengan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Jun yang lalu selepas mesyuarat khas menteri bersetuju membenarkan zoo seluruh Malaysia beroperasi pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

-NI-

Tinggalkan komen anda