Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

45 Penduduk Bandar Baharu Terima Kad KIDA

By 2 Julai 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 45 orang penerima terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal serta wanita berkeluarga tanpa pendapatan tetap di daerah ini menerima Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) menerusi program penyerahan kad tersebut yang memberi manfaat kepada semua keluarga terutamanya golongan ibu di daerah  ini.

Menurut Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, walaupun negara masih dalam keadaan wabak pandemik COVID-19, kerajaan masih meneruskan lagi bantuan dalam meringankan beban rakyat.

“KIDA menyalurkan bantuan kewangan untuk pembelian barangan keperluan asas yang diperuntukan sebanyak RM250 sebulan untuk satu keluarga, ianya juga merangkumi manfaat untuk kesihatan sebanyak RM250 bagi tempoh 6 bulan.

“KIDA menggunakan mekanisme kad pintar tanpa tunai bagi menyalurkan kedua-dua bantuan kewangan dan keperluan kesihatan tersebut,” katanya setelah menyerahkan kad kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) Peringkat Daerah Bandar Baharu, di sini semalam.

Sanusi berkata kerajaan akan membantu kira-kira 4500 ibu-ibu di seluruh negeri ini melalui fasa kedua KIDA yang bermula mulai Julai sehingga Disember tahun ini.

“Kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan persekutuan merangka program KIDA dalam menangani kos sara hidup serta memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati pembangunan ekonomi yang saksama serta rasa kasih dan hormat pada kaum ibu, KIDA terus ingin memperkasakan kaum ibu untuk keluar dari kelompok kemiskinan.

Sanusi (dua dari kanan) menyerahkan Kad KIDA kepada salah seorang penerima.

Sanusi (dua dari kanan) menyerahkan Kad KIDA kepada salah seorang penerima.

“Senarai penerima KIDA ini telah diperhalusi dan hanya mereka yang layak saja dipilih untuk menerima bantuan tersebut, namun para penerima akan dinilai semula pada setiap tahun untuk mengkaji dan mempertimbangkan kelayakan mereka,” katanya.

Penerima KIDA, Rohaya Husin, 62, dari Kampung Asam Kumbang Mukim Bagan Samak, berkata beliau amat bersyukur kerana tersenarai untuk menerima sumbangan ini.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membantu golongan ibu yang tidak berkemampuan dan dengan Kad KIDA ini saya akan gunakan untuk membeli barangan keperluan keluarga,” katanya.

Menurut seorang lagi penerima, Saroja  Ramalingam, 65, dari Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini dapat mengurangkan beban keluarganya.

“Jika dahulu saya terpaksa mencari sumber kewangan lain bagi membantu keluarga kini saya tidak perlu bimbang lagi kerana saya dapat membeli barang keperluan dapur dengan adanya bantuan ini,” jelasnya.

Program ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam usaha meningkatkan taraf hidup, sekaligus membasmi kemiskinan terutamanya di kawasan luar bandar.

-SH

Tinggalkan komen anda