Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Hias Rumah Semarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan

By 20 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairuzzaki Ahmad / Mohd Najib Mohaini (Johor)

KLUANG, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Mantan Ketua Kampung Muhibbah, di sini, Abu Bakar Sulaiman, 75, atau lebih dikenali Pak Naib berkata pada setiap tahun beliau akan meraikan Sambutan Bulan Kemerdekaan dengan menghias kawasan kediamannya dengan pelbagai dekorasi yang kreatif dan menarik yang bertemakan Jalur Gemilang.

“Isteri saya merupakan orang kuat dalam membantu menyiapkan dekorasi dan menghiaskan rumah dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz dan bentuk.

“Penduduk setempat juga sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada saya dan isteri,” katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Pak Naib memaklumkan, beliau pernah memenangi Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan kategori rumah kediaman yang telah dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

Sesi temu ramah bersama Pak Naib

Sesi temu ramah bersama Pak Naib

“Faktor usia tidak mematahkan semangat kami untuk terus menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan walaupun pada tahun ini sambutannya berbeza dari tahun-tahun sebelumnya kerana negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Bukan mudah untuk menyiapkan hiasan ini kerana memerlukan peruntukkan waktu yang panjang selain kreativiti yang tinggi, ditambah pula faktor usia yang telah lanjut menyebabkan saya tidak dapat beraksi seperti di usia muda dahulu,” ujarnya.

Tambah beliau, sejak beberapa tahun yang lalu ribuan ringgit telah dibelanjakan untuk membeli Jalur Gemilang, papan lapis, cat dan peralatan lain bagi menyiapkan replika serta hiasan termasuk menggunakan bahan-bahan terbuang seperti buluh, pelepah kelapa dan bekas minuman.

“Jiwa dan semangat patriotik yang mengalir dalam diri saya begitu kuat dan saya bangga dapat berkongsinya melalui hiasan dan dekorasi kemerdekaan yang telah saya hasilkan.

“Aktiviti seumpama ini merupakan platform terbaik untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri generasi muda agar tidak terus hanyut dan lupa akan jati diri serta perlu sentiasa disedarkan dan digegarkan pemikiran supaya tidak lalai dan bersikap selesa dengan kemakmuran yang telah dinikmati selama ini,” tambahnya.

-NI-

Tinggalkan komen anda