
Laporan/foto: Zurina Saad/Othman Ariff (Yan)
YAN, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Keunikan binaan sebuah rumah yang terletak di Kampung Raga, di sini seringkali menarik perhatian sesiapa sahaja terutama dalam kalangan pelancong asing.
Masakan tidak, bahan binaannya bukanlah daripada kayu atau batu-bata seperti kebiasaannya, tetapi daripada kayu pokok-pokok yang diproses sehingga boleh digunakan untuk membina rumah.
Kediaman tersebut dimiliki oleh pasangan suami isteri, Mustapa Ismail, 59, dan Rohmah Hashim, 58, menonjolkan binaan menggunakan hampir 80 peratus daripada kayu pokok manggis yang dibeli dari penduduk kampung dan selebihnya menggunakan kayu cenderai, kayu nibong, kayu nyiur dan kayu dokong yang mudah didapati di sekitar kampung ini.

Bahagian bawah rumah dijadikan ruang menyambut tetamu yang turut dibina daripada kayu pokok manggis.
Menurut Rohmah, idea untuk menggunakan kayu pokok manggis timbul apabila suaminya melihat pokok-pokok tersebut hanya dibuang begitu sahaja setelah ditebang, manakala anaknya, Mohd Shahraimi Mustapa, 31, menggunakan pengalamannya hampir sembilan tahun dalam bidang perusahaan perabot jati di Kuala Lumpur telah memungkinkan impian keluarga mereka untuk mendiami sebuah rumah berasaskan kayu manggis menjadi kenyataan.
“Hampir 300 batang pokok manggis digunakan dan ada di antaranya dipercayai berusia hampir 100 tahun dan pemasangannya tidak menggunakan paku biasa sebaliknya skru yang sesuai perlu ditempah terlebih dahulu untuk menyambung kayu-kayu pokok tersebut.
“Kayu manggis menjadi pilihan kerana sifat kayu manggis ini yang tahan kepada cuaca panas dan hujan serta mempunyai keunikannya yang tersendiri. Bagi memastikan kayu ini tahan lebih lama, saya akan menyapu minyak kayu setiap setahun sekali dan diulangi setiap enam bulan jika perlu,” katanya yang ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.
Menurut Shahraimi, yang kini sedang dalam proses menyiapkan bilik air, keluarganya telah membelanjakan hampir RM300 ribu bagi menyiapkan rumah ini.
“Walaupun modalnya agak tinggi serta menghadapi pelbagai cabaran, namun berpuas hati setelah melihat hasilnya mendapat pujian masyarakat tempatan selain turut dikunjungi pelancong seperti dari Korea dan Jepun yang kagum dengan hasil seni binaan ini,” katanya.
-SH