
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam/Muhammad Azran Abd Malek ( Melaka Tengah)
MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Sambutan Bulan Kebangsaan dan Majlis Ibadah Korban tahun 2020 bertemakan Merdeka Korban telah berlangsung di Perkarangan Masjid Al – Hamideen, kelmarin.
Bertepatan dengan saranan Ketua Menteri (KM) Melaka iaitu ‘Satu Rumah Satu Bendera’ program ini menjadi titik permulaan untuk menerapkan unsur kemerdekaan di samping meraikan ibadah korban dalam kalangan masyarakat setempat.
Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali yang turut hadir memeriahkan program ini berkata kelainan yang ditampilkan oleh penganjur dalam program ini amat menarik kerana menggabungkan dua sambutan dalam satu majlis serta dapat menghimpunkan penduduk setempat untuk menyambutnya.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan menyambut baik usaha pelbagai agensi swasta mahupun kerajaan dalam menganjurkan apa sahaja program yang mampu memberi manfaaat kepada orang ramai walaupun dalam suasana norma baharu,” ujarnya.
Manakala, Pengerusi Masjid Al-Hamideen, Mohd Noor Samion ketika ditemubual berkata, hari ini sebanyak lapan ekor dikorbankan dan seramai 250 peserta hadir membantu proses penyembelihan dan melapah.
“Ahli jawatankuasa masjid akan sentiasa berusaha untuk menjalinkan hubungan strategik dengan agensi-agensi yang dapat memberikan kerjasama dalam menghasilkan satu program yang dapat memberikan impak mahupun pengisian berguna kepada masyarakat.
“Terima kasih Ketua Menteri Melaka serta kerajaan negeri yang turut bersama memeriahkan sambutan yang dianjurkan malah menjadikan ia satu pemangkin semangat bagi mengadakan program pada masa hadapan,” katanya.
-KN