
Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memperkenalkan produk pelancongan baharu iaitu Kampung Budaya Terengganu (KBT) yang terletak di Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini.
Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri amat komited dan serius untuk memberikan sokongan dan galakkan terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya warisan dan usaha mewujudkan Kampung Budaya Terengganu bertepatan kerana produk itu dilihat mampu menjana pendapatan yang tinggi.

Ahmad Samsuri membaca watikah pengisytiharan Kampung Budaya Terengganu di beranda istana lama, Istana Tengku Long di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini.
“Kampung Budaya Terengganu turut dijadikan platform bagi karyawan tempatan untuk terus menghasilkan karya mereka selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan.
“Sebagai produk pelancongan terbaharu, Kampung Budaya Terengganu bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu Terengganu dahulu kala, malah ianya mengingatkan generasi akan datang betapa pentingnya mengetahui asal usul sejarah peradaban Melayu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini, semalam.

Demonstrasi permainan tradisi dipersembahkan kepada pengunjung yang mengunjungi Kampung Budaya Terengganu.
Kampung Budaya Terengganu berkonsepkan muzium hidup dan pengunjung berpeluang melihat dan merasai sendiri pengalaman seolah berada di sebuah perkampungan Melayu lama dengan menyaksikan aktiviti masyarakat kampung yang jarang dilihat pada masa kini.
Ahmad Samsuri berkata, kebanyakan akitiviti yang terdapat di perkampungan itu tidak pernah dilihat oleh generasi sekarang dan seharusnya mereka perlu mengunjungi Kampung Budaya Terengganu agar sejarah peradaban bangsa tidak dilupakan.
“Terengganu menerima jumlah pelancong yang agak tinggi ketika cuti sekolah baru-baru ini dan berharap agar rakyat negara ini terus mengunjungi Bumi Darul Iman bagi merasai pengalaman baharu mengunjungi Kampung Budaya Terengganu pula.

Ahmad Samsuri mencuba membuat laksa kebok pada demonstrasi membuat laksa secara tradisional di Kampung Budaya Terengganu.
“Bagi menggalakkan orang ramai mengunjungi Kampung Budaya Terengganu, kerajaan negeri bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang bayaran bagi memasuki kawasan perkampungan itu sehingga Ahad ini.
“Kampung Budaya Terengganu adalah destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong dan bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mengunjunginya, boleh dianggap kunjungan ke Terengganu tidak lengkap,” katanya lagi.

Antara permainan tradisi masyarakat Terengganu yang dipertontonkan kepada pengunjung Kampung Budaya Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan muzium petroleum di negeri ini bertujuan mempamerkan proses menggali minyak di laut hingga ke pemprosesan di loji kepada orang ramai.
“Sebagai sebuah negeri yang mengeluarkan petroleum, adalah wajar muzium petroleum dibina kerana masih ramai rakyat terutama rakyat Terengganu yang tidak tahu bagaimana petroleum dikeluarkan,” tambahnya.
-ii-