Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Program Penjana KPT-CAP Jamin Pekerjaan untuk Graduan

By 29 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi- ”Career Advancement Programme” atau KPT-CAP, yang memastikan graduan program peningkatan kemahiran itu memperoleh pekerjaan setelah tamat kursus.

Beliau berkata kursus bawah program KPT-CAP itu direka bentuk mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat yang bakal mengambil graduan berkenaan sebagai pekerja mereka.

Mengambil contoh kursus ‘Smart Trucker’, katanya kandungan pengajaran dalam kursus itu direka bentuk berdasarkan kemahiran yang diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan ‘Letter of Commitment’ (LOC) kepada KPT.

“Habis sahaja tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik tersebut,” katanya ketika melancarkan program itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Graduan yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini sudah boleh memohon KPT-CAP melalui portal “Graduates Reference Hub for Employment and Training” atau GREaT yang disediakan KPT.

“Saya ingin menyeru kepada saudara-saudari graduan tahun 2020 dan 2019 yang belum bernasib baik mendapat pekerjaan, bolehlah memanfaatkan peluang untuk menambah kemahiran dan nilai kompetensi seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau difahamkan KPT sedang membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan  di IPT selepas Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016-2020 yang akan tamat pada tahun ini.

“Saya berharap pelan tindakan yang akan dihasilkan ini berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan ekosistem keusahawanan yang lengkap,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda