
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara berbilang kaum di Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim menyeru warga Kuala Nerus supaya mengisi kemerdekaan dengan kefahaman dan penghayatan agama serta mencorakkan kehidupan pelbagai kaum dengan saksama.
“Penyertaan pelbagai kaum dalam program Merdeka@Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Kuala Nerus merupakan satu bukti bahawa perpaduan antara kaum di Malaysia khususnya di daerah ini masih tetap utuh.
“Kewujudan program seumpama ini sangat digalakkan kerana ia bersifat menyeluruh apabila melibatkan setiap genap lapisan masyarakat terutamanya melibatkan anak-anak muda dan golongan veteran,” katanya, di sini baru-baru ini.
Peserta program, Lai Chia Yi berkata, beliau mengikuti program berkenaan sebagai tanda sokongan dan cintakan tanah air tercinta ini.
“Program kemerdekaan ini dilihat mampu menyatukan perpaduan di antara kaum di dalam negara khususnya di Negeri Terengganu yang mana jumlah kaum Cina adalah sedikit berbanding kaum Melayu. Kami di sini sentiasa bersatu padu meskipun berlainan agama dan budaya”, katanya ketika ditemui selepas program berakhir.
Peserta lain, Han Hwee Sin berkata, beliau hadir ke program berkenaan kerana begitu teruja dan mahu bersama-sama menyertai sambutan Hari Kebangsaan khususnya di DUN Tepoh tempat tanah kelahirannya.
“Saya tinggal di Kampung Pulai Baru, Tepoh, oleh itu saya begitu teruja apabila ada program sebegini yang dibuat di sini dan sangat gembira kerana dapat menyertai program-program bersifat patriotik seperti ini,” katanya dengan nada teruja.

Peserta Program, Han Hwee Sin begitu teruja dengan Program Merdeka@Komuniti yang dijalankan di kawasan beliau.
Program yang disertai oleh hampir 140 Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) ini dimeriahkan dengan bacaan Ikrar Rukun Negara dan nyanyian serta kibaran Jalur Gemilang bagi menunjukkan rasa kecintaan kepada negara.
-ii-