
Laporan/foto : Rusmiza Anuar/ Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Pelbagai cara boleh dilakukan bagi menzahirkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara, termasuk aktiviti yang berbentuk rekreasi.
Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Mohamad Arif Ariffin berkata, penganjuran aktiviti seperti senaman, senamrobik dan rentas hutan sempena sambutan Bulan Kebangsaan adalah salah satu acara yang mampu menggelorakan semangat patriosme di kalangan masyarakat.
Katanya, selain berkumpul untuk memperingati sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, orang ramai yang menyertai acara seperti itu secara tidak langsung dapat membantu menjaga kesihatan diri sendiri.
“Allhamdullilah, walaupun kita masih berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namu kita masih bebas untuk meraikan sambutan Bulan Kebangsaan walau terpaksa mengukuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika merasmikan Program Merdeka @ Komuniti Senamrobik anjuran Pejabat Penerangan Daerah Dungun di Arena Merdeka di sini baru baru ini.

Mohd Othman Abu Bakar (tiga dari kanan) dan Pengerusi PERKESID Mek Zaharah Husain (dua dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada peserta paling sporting.
Program dengan kerjasama Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Daerah Dungun Terengganu (PERKESID) ini membabitkan 200 peserta dari seluruh Daerah Dungun bertujuan menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan cara sihat dan santai.
Selain senamrobik, program itu turut dimeriahkan dengan pertandingan kuiz kenegaraan, cabutan bertuah dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Tengah (KETENGAH) Mohamad Arif Ariffin berucap merasmikan program.
Beliau berkata, program itu juga mampu mengeratkan perpaduan kaum yang sudah sedia terjalin dan ia adalah antara medium terbaik bagi mencapai matlamat itu.
Mohamad Arif berkata, perpaduan kaum adalah benteng mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh oleh anasir luar yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan perpaduan rakyat negara ini.
Menurutnya, dengan keamanan yang dikecapi sekarang, adalah wajar semua lapisan masyarakat terutama generasi muda mengekalkan situasi sekarang bagi memastikan masa depan negara lebih terjamin.
Katanya, pandemik COVID-19 bukan alasan untuk kita berdiam diri tanpa menyertai sebarang program berbentuk patriotisme kerana sikap seperti itu boleh menghapuskan rasa cinta kita kepada negara dan seterusnya memudaratkan perpaduan yang kita kecapi selama ini.
-ii-