
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak 260 kes baharu COVID-19 dicatat, kedua tertinggi di Malaysia selepas 4 Jun lalu yang merekodkan 277 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Lebih membimbangkan, hanya satu kes import dicatat daripada jumlah itu manakala 259 lagi merupakan penularan dalam negara melibatkan 130 warganegara dan 129 bukan warganegara.
“Daripada 259 kes itu, 31 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah menjadikan kes keseluruhan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah ialah 119 kes sejak 20 Sept lalu,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini semalam.
Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia ialah 11,484 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 1,334 kes.
Sementara itu, terdapat 47 kes yang pulih daripada jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang telah pulih kini melebihi lima angka iaitu sebanyak 10,014 kes atau 87.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dalam pada itu, terdapat 20 kes positif yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kumulatif kes kematian kekal 136.
Perkembangan kes ini ternyata membuahkan kebimbangan kerana ketika negara mencatat kes tertinggi pada 4 Jun, sebanyak 270 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil manakala yang membabitkan penularan tempatan hanya empat kes.
“Bilangan kes ketiga tertinggi pula dicatat pada 26 Mac iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1 iaitu sebanyak 235 kes yang terdiri daripada 27 kes import dan 208 kes penularan di dalam negara yang melibatkan 157 kes warganegara Malaysia dan 51 bukan warganegara,” katanya.
Justeru katanya, dengan pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah yang akan berkuat kuasa mulai 3 hingga 16 Okt serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah, ia akan membantu mengawal situasi penularan di Negeri Di Bawah Bayu itu.
“Pada masa sama, KKM dan agensi berkaitan akan berusaha sedaya-upaya bagi mengawal penularan COVID-19 di seluruh Malaysia. Kerjasama semua pihak adalah amat-amat diperlukan,” katanya.
–BERNAMA