
PUTRAJAYA, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia susut 1.4 peratus tahun ke tahun pada September 2020 kepada 120.1 berbanding 121.8 bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bagaimanapun, ia berkata indeks kekal tidak berubah jika dibandingkan dengan bulan Ogos 2020.
IHP bagi suku tahun ketiga 2020 menyusut 1.4 peratus kepada 120.2 berbanding 121.7 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 1.5 peratus berbanding suku tahun kedua 2020.
Mengulas lanjut, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-9.9 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0 peratus) dan pakaian & kasut (-0.6 peratus) yang menyumbang 41.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.
Bagaimanapun, makanan & minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.1 berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.
Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.7 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus) dan kesihatan (1.1 peratus).
“IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus pada September 2020 berbanding September 2019. IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel,” kata Mohd Uzir.
Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada September 2020 iaitu RM1.68 per liter berbanding RM2.08 pada September 2019.
Dalam pada itu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 susut kepada RM1.98 seliter berbanding RM2.58 dan purata harga diesel turun kepada RM1.73 seliter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mohd Uzir juga berkata indeks teras meningkat 1.0 peratus pada September 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.7 peratus), komunikasi (1.6 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (1.4 peratus) dan kesihatan (1.1 peratus).
Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.8 peratus hingga -2.2 peratus bagi September 2020 berbanding September 2019.
Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2 peratus), Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2 peratus) dan Kedah & Perlis (-2.2 peratus), diikuti oleh Sarawak (-2.1 peratus), Negeri Sembilan (-1.9 peratus) dan dan Johor (-1.9 peratus).
Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.4 peratus), diikuti oleh Terengganu (1.6 peratus), Johor (1.5 peratus) dan Perak (1.5 peratus).
— BERNAMA