
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menafikan mesej tular di media sosial menerusi aplikasi whatsapp berkait isteri anggota Balai Selayang positif COVID-19.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata laporan berkenaan adalah tidak benar dan belum disahkan.
“Laporan awal tersebut adalah tidak tepat kerana belum disahkan dan keputusan saringan kedua penama tersebut telah diperolehi pada 4 petang ini disahkan negatif.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi fakta laporan yang diterima dalam media sosial kerana ia boleh menimbulkan kegusaran orang ramai.
“Ia turut memberi tekanan kepada pesakit serta keluarga mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu laporan mengenai seorang isteri anggota polis Balai Selayang yang tinggal di kuaters IPD Gombak dikatakan positif COVID-19.
Dalam laporan tersebut, wanita berusia 33 tahun itu dikatakan kontak rapat dengan pelanggan tempat kerjanya dan disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
-NAZ