Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MITI Gesa Syarikat Daftar dengan Sistem CIMS Susulan PKPB, PKPD

By 7 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini menggesa syarikat-syarikat di negara ini untuk mendaftar dengan sistem pangkalan data perniagaannya, COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata pendaftaran itu bagi memudahkan pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggunakan CIMS sebagai rujukan sebelum memberi kebenaran beroperasi untuk syarikat terbabit susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi di seluruh negara.

Bagaimanapun, MITI menegaskan bahawa pendaftaran di CIMS adalah sekadar sumber rujukan PDRM dan bukan kelulusan beroperasi secara automatik untuk syarikat-syarikat terbabit.

“Kelulusan untuk beroperasi itu adalah tetap mengikut keputusan pihak PDRM.

“Bagi lokasi PKPB di Sabah, syarikat daripada sektor-sektor Perkhidmatan Perlu yang telah diwartakan kerajaan adalah amat digalakkan untuk berdaftar di CIMS dengan senarai sektor-sektor ini boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Proses pendaftaran terbabit boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan www.notification.miti.gov.my manakala syarikat yang mempunyai sebarang isu teknikal pendaftaran boleh membuat aduan menerusi [email protected] atau menerusi Twitter, Facebook dan Instagram MITI.

Selain itu, kementerian berkenaan juga mengingatkan syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi setiap sektor terlibat.

“Ketidakpatuhan SOP ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan syarikat boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda