
Laporan/foto: Shaharuddin Daud@Abu Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Seorang pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Felda Kepis, Kuala Pilah telah menerima Anugerah Khas Pingat Hang Tuah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2020.
Nur Afia Qistina Zamzuri, 9, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk aktif dalam aktiviti sukarelawan dengan menjahit Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk para petugas hadapan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
“Berkat sokongan ibu bapa dalam merealisasikan impian saya untuk membantu masyarakat dan negara, sebanyak 90 helai PPE telah dapat dihasilkan dengan purata siap adalah satu hingga lima pasang dalam sehari,” ujarnya ketika ditemui di bengkel jahitan milik ibunya di sini baru-baru ini.
Menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Pilah, Mohamad Affendy Mat Sani, penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan adalah satu pendedahan yang sangat positif.
“Sudah semestinya perkembangan sahsiah kanak- kanak akan menjadi lebih baik kerana dari kecil lagi sudah didedahkan dengan perkara dan aktiviti yang mendatangkan kebaikan kepada komuniti serta masyarakat,” katanya.
Tambah Affendy, jika dipupuk semangat sukarela dalam diri pelajar sejak usia muda, maka sudah tentu negara kita akan dapat melahirkan modal insan berkualiti serta mempunyai sikap dan nilai-nilai murni seperti sentiasa ingin menolong dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.
Selain menjahit PPE, beliau turut menawarkan diri sebagai sukarelawan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah dalam membantu barisan hadapan.
-AK