
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Kes positif baharu COVID-19 kembali meningkat kepada 957 kes berbanding 659 kelmarin, dengan kesemuanya melibatkan penularan dalam negara, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun menurutnya jumlah kes pulih sepenuhnya mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu sebanyak 972 kes menjadikan kumulatif kes pulih sepenuhnya sehingga kini sebanyak 22,220 kes atau 68.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sebanyak 32,505 kes.
Sebanyak 97 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan, dan tiada kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal, 249 kes.
Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 dalam negara semalam, Dr Noor Hisham berkata kesemua kes baharu ini melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 644, Selangor (225), Pulau Pinang (23), Labuan (18), Terengganu (15), Sarawak (11), Negeri Sembilan (8), Perak (5) dan Kuala Lumpur (4).
Selain itu, Kedah, Melaka, Johor dan Putrajaya, masing-masing mencatatkan satu kes.
Dr Noor Hisham menjelaskan jumlah kes tinggi di Sabah dan Lembah Klang yang menyumbang kepada 874 kes adalah berikutan lebih banyak pengesanan dibuat di lapangan termasuk pengesanan kontak rapat, dan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian, Kajang yang mana 91 kes baharu dilaporkan.
— BERNAMA