
PUTRAJAYA, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Nisbah jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia bertambah baik pada 2019 iaitu 256.6 berbanding 273.5 pada 2018, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin hari ini.
Tujuh negeri mencatatkan nisbah jenayah indeks bawah paras nasional pada 2019 iaitu Sarawak (214.6), Perlis (207.5), Perak (195.8), Pahang (195.7), Kelantan (188.2), Terengganu (150.3) dan Sabah (143.5), katanya.
”Nisbah jenayah indeks bagi semua negeri menurun kecuali Pulau Pinang (3.76 peratus), Sarawak (4.2 peratus) dan Terengganu (1.3 peratus),” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Laporan Statistik Jenayah, Malaysia 2020.
Laporan itu memaparkan enam statistik jenayah terpilih iaitu Jenayah Indeks, Dadah, Rasuah, Alam Sekitar, Jenayah Maritim dan Pemulihan.
Statistik yang disediakan berdasarkan rekod pentadbiran yang diperoleh daripada pelbagai agensi dan penyusunan adalah berdasarkan konsep dan garis panduan International Classification of Crime for Statistical Purpose Version 1.0 yang diterbitkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Mohd Uzir berkata jenayah rogol dan menyebabkan kecederaan masing-masing meningkat 5.5 peratus dan 2.9 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya bagaimanapun peratus samun dan bunuh masing-masing menurun 5.3 peratus dan 4.0 peratus dalam tempoh sama.
Pada 2019 jumlah penagih dadah yang ditahan menurun berbanding 2018 di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis manakala jumlah penagih dadah tertinggi yang ditahan direkodkan di Kedah (3,582 orang) diikuti Kelantan (2,998) dan Pulau Pinang (2,893 orang).
Mohd Uzir berkata jumlah tangkapan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkat 23.2 peratus pada 2019, iaitu tangkapan untuk kesalahan memberi rasuah meningkat 79.0 peratus diikuti tuntutan palsu 35.8 peratus.
Tangkapan bagi salah guna kedudukan dan lain-lain kesalahan masing-masing menunjukkan penurunan pada kadar 24.7 peratus dan 9.8 peratus, katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata bilangan tangkapan tertinggi yang dilaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkaitan perairan pada 2019 adalah di bawah Akta Perikanan 1985 (603 kes) diikuti Akta Imigresen 1959/63 (167 kes), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (132 kes) dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (94 kes).
— BERNAMA