
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan empat digit dalam tempoh 24 jam lepas, apabila 1,340 kes baharu direkodkan dan Selangor kekal melaporkan kes baharu tertinggi dengan 441 kes.
Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini melonjak kepada 93,309 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini sebanyak 15,563 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu hanya tiga kes merupakan kes import, sementara 1,337 kes adalah penularan dalam negara.
“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 284 kes, Sabah (196 kes), Negeri Sembilan (169 kes), Johor (156 kes), Pulau Pinang (30 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (27 kes) dan Pahang dengan 12 kes.
“Sementara Perak dengan 10 kes, Kedah (enam kes) dan Sarawak (tiga kes), manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Terengganu masing-masing dua kes, selain satu kes di Melaka dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, terdapat empat kematian baharu akibat COVID-19 melibatkan tiga warganegara dan satu warga asing dilapor, menjadikan jumlah maut kini 437 kes.
Dalam pada itu, sebanyak 1,067 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 77,309 kes atau 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
— BERNAMA