
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 4 Dis (Malaysiaaktif ) – Masyarakat di negeri ini diingatkan supaya tidak terus leka dan mengamalkan norma baharu bagi mengekang dan memutuskan penularan wabak COVID-19.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, orang ramai harus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu elakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan amalkan 3W (amalkan wash, wear dan warn).
“Kita perlu peka dan patuh nasihat penjagaan diri seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, tidak keluar rumah jika tiada keperluan serta segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat ahli keluarga yang bergejala.
“Orang ramai juga juga perlu mengelakkan berada di tempat yang sesak, sempit atau tertutup serta mengamalkan penjarakan fizikal apabila berbual atau bertutur dalam jarak yang dekat bagi mengekang jangkitan COVID-19,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar, semalam.
Tambah beliau, amalan norma baharu perlu menjadi budaya masyarakat sepanjang masa dan bukannya hanya ketika berlaku peningkatan kes aktif sahaja.
“Saya gembira dengan tahap kesedaran masyarakat di negeri ini mengenai bahaya wabak COVID-19 dan yakin kita berupaya mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang mempunyai kadar jangkitan wabak yang terendah di dalam negara,” ujarnya.
Azlan berkata, kesan yang dihadapi masyarakat berikutan penularan wabak COVID-19 adalah sangat besar apabila ramai yang hilang punca pendapatan, pekerja yang hilang pekerjaan dan ada yang diberikan cuti tanpa gaji.
“Kerajaan Persekutuan telah merangka pelbagai program dan bantuan bagi meringankan beban rakyat terutama kepada mereka yang mudah terjejas dan Kerajaan Negeri juga turut melancarkan dua puluh tiga insentif dengan membekalkan pek makanan kepada 35,000 isi rumah untuk setiap tiga hari di 15 Dewan Undangan Negeri.
“Pada awal bulan April yang lalu, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM10 juta dalam tempoh tiga bulan yang pertama untuk membantu rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang diterajui oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis kerana berjaya membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Hamdan Bahari, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Dr. Sirajuddin Hashim, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis serta Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
-NI-