Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Hebahan Unit Bergerak JaPen Sebar Maklumat Terus dan Terkini

By 21 Disember 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran Johari (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Hebahan unit bergerak Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia di seluruh negara yang bermula sejak Mac lalu sudah menjadi kelaziman bagi rata-rata masyarakat di negeri ini.

Menurut peniaga kedai makan, Abdul Muris Che Mazalan, 32, melalui hebahan unit bergerak ini, beliau dan ahli keluarganya lebih cakna atau prihatin terhadap maklumat–maklumat terkini mengenai penularan COVID-19 serta usaha pihak kerajaan dalam mengekang penyebaran virus ini.

“Hampir setiap hari saya mendengar info-info daripada unit bergerak Jabatan Penerangan di sekitar sini.

“Bukan itu sahaja, dengan adanya hebahan ini dapat membantu saya untuk memastikan para pelanggan yang datang ke kedai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Abdul Muris Che Mazalan, 32, mengharapkan unit bergerak Jabatan Penerangan diteruskan pada masa akan datang bagi memberikan info-info yang bermanfaat kepada masyarakat.

Abdul Muris Che Mazalan, 32, mengharapkan unit bergerak Jabatan Penerangan diteruskan pada masa akan datang bagi memberikan info-info yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Segelintir para pelanggan yang datang ke kedai ada yang tidak peka dengan SOP yang ditetapkan seperti tidak memakai pelitup muka, tetapi apabila unit bergerak Jabatan Penerangan melalui kawasan kedai makan dan membuat hebahan, dengan segera para pelanggan memakai pelitup muka dan ini sangat memudahkan saya sebagai pemilik kedai makan untuk memastikan para pelanggan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,”katanya ketika ditemu ramah baru-baru ini.

Bagi pemilik kedai barangan keperluan harian, Norziana Ab. Llah, 28, berkata dengan adanya hebahan bergerak seperti ini secara tidak langsung masyarakat dapat menerima maklumat dengan kadar segera dan secara terus mengenai pentingnya pengamalan norma baharu ketika masyarakat di Malaysia dan dunia menghadapi virus COVID-19 ini.

“Bukan sahaja dapat info-info berkaitan pencegahan COVID-19, tetapi dalam masa yang sama juga mengetahui maklumat terkini berkaitan Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Menurut Norziana, beliau hanya mengetahui berkaitan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) menerusi Belanjawan 2021 yang telah diumumkan oleh kerajaan dari hebahan unit bergerak berkenaan dan segera memohon untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Norziana Ab. Llah, 28, berterima kasih kerana dengan adanya unit bergerak dapat info-info segera dan secara terus.

Norziana Ab. Llah, 28, berterima kasih kerana dengan adanya unit bergerak dapat info-info segera dan secara terus.

“Ketika berada di dalam kedai, saya mendengar hebahan yang dibuat oleh unit bergerak berkaitan info-info Belanjawan 2021 dan di antaranya adalah BPR serta segera mencari maklumat terperinci di atas talian dan seterusnya memohon bantuan kewangan berkenaan bagi membuat pusingan modal perniagaan pada tahun hadapan,” katanya lagi.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Nerus, Emylia Lot, berkata hebahan unit bergerak di seluruh kawasan di Daerah Kuala Nerus telah bermula semenjak kerajaan menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Unit bergerak ini bergerak ke kawasan tumpuan seperti premis perniagaan, perumahan, kampung serta lokasi tumpuan masyarakat termasuk pasar awam bagi membuat hebahan mengenai maklumat terkini kepada masyarakat menggunakan dialek tempatan selain mengagihkan poster serta bahan-bahan penerbitan berkaitan pencegahan wabak COVID-19,” katanya.

Tinggalkan komen anda