
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 yang direkodkan semalam kekal empat digit iaitu 1,123 kes menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 71,359 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, bilangan kes aktif kebolehjangkitan mencatat 10,775 kes, manakala jumlah kes pulih adalah 1,143 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 60,204 kes.
Menurutnya dalam kenyataan, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula ialah 1,118 kes.
“Kawasan di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 490 kes (43.6 peratus). Sabah melaporkan jumlah kes harian tertinggi, iaitu sebanyak 391 kes atau 34.8 peratus, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan sebanyak 265 kes atau 23.6 peratus,” katanya.
Beliau juga berkata terdapat empat kes kematian COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 380 kes.
Selangor mencatat 221 kes diikuti Johor (66 kes), Pulau Pinang (44 kes), Perak (39 kes), Kelantan (35 kes), Kedah (30 kes), Negeri Sembilan (10 kes), Labuan (10 kes), Putrajaya (empat kes), Pahang (dua kes) dan Sarawak (satu kes).
Dr Noor Hisham berkata 40 kes (3.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibuga (27 kes) dan Kluster Tembok sebanyak 13 kes.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta saranan yang sering ditekankan kerajaan termasuk mengelakkan 3S (crowded, confined, close) iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.
— BERNAMA