
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Kolam air panas Ulu Bendul yang terkenal suatu ketika dahulu kini hilang daya tarikan kerana terbiar lama.
Menurut penduduk tempatan di kawasan itu, Mohd Shah Samsudin, 61, kolam air panas yang terletak di Kampung Ulu Bendul tersebut kerap dikunjungi penduduk tempatan dengan pelbagai tujuan sama ada untuk berehat mahupun untuk mengubati penyakit kulit, sakit sendi atau sakit otot.
“Pada asalnya kawasan berkenaan hanya mempunyai sebuah perigi yang menjadi tempat takungan air panas kemudian dua kolam telah dibina untuk kegunaan orang ramai, namun persekitaran yang tidak sesuai menyukarkan pengunjung untuk datang.
“Saya menyokong apa sahaja usaha pihak berwajib untuk menaik taraf kolam air panas tersebut kerana ia mampu menjadi salah satu tarikan pelancong datang ke Daerah Kuala Pilah selain Hutan Lipur Ulu Bendul dan Muzium Diraja Seri Menanti,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk tempatan Mazni Abdul Karim, 37, memberitahu kolam air panas tersebut perlu dibangunkan dengan fasiliti yang lengkap serta mempunyai kemudahan asas serta prasarana yang lebih kondusif agar pengunjung berasa selamat dan selesa untuk datang.
“Ramai akan mendapat manfaat jika kolam air panas ini jika dibangunkan, bilangan pengunjung yang datang akan meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan secara tidak langsung ekonomi Negeri Sembilan,” katanya.
-AK