
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) memperkenalkan kaedah baharu dalam agihan bantuan kepada usahawan kecil di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, berkata bantuan yang diperkenalkan itu diagihkan kepada semua usahawan kecil samada yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mereka yang tidak berdaftar termasuk peniaga yang berniaga secara kecil-kecilan di tepi jalan.
“Agihan bantuan yang diberikan itu mungkin dalam nilaian kecil bagaimanapun ianya merangkumi semua usahawan kecil yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuada Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Nurkhuzaini Ab Rahman berucap ketika majlis penyerahan bantuan perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil Negeri Terengganu.
“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM96,000.00 untuk diagihkan kepada 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan setiap DUN menerima RM3,000.00,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan Kepada Penjaja dan Peniaga Kecil, di sini semalam.
Beliau berkata, agihan dibuat secara sama rata kepada mereka yang memerlukan dan terpulang kepada Pegawai Penyelaras DUN menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengagihkan bantuan itu secara adil dan saksama.
“Pandemik COVID-19 yang melanda negara sedikit sebanyak memberi kesan kepada usahawan dan peniaga kecil, sehubungan itu langkah yang diambil oleh kerajaan diharap dapat membantu merancakkan lagi perniagaan mereka.
“Mereka yang ingin memulakan perniagaan dan bermasalah untuk mendapatkan modal boleh menghubungi pihak YPUT bagi mencari penyelesaian bagi masalah tersebut,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri melalui Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini memperuntukkan RM3.5 juta bagi membantu usahawan dan peniaga di negeri ini.
“YPUT sentiasa berusaha membantu usahawan serta peniaga kecil negeri ini demi kelangsungan perniagaan mereka dan bantuan yang disediakan diharap mampu memangkin semangat mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya,” jelasnya.
-ii-