
PUTRAJAYA, 29 Dis (Malaysiaaktif) – Polis menumpaskan satu sindiket memproses ubat-ubatan tidak berdaftar selepas menyerbu sebuah kilang dan merampas 325 botol berserta 50 kotak mengandungi pelbagai pil, tablet, kapsul tanpa label bernilai RM1.2 juta, di Kawasan Perindustrian Ringan, Jalan Kempas, Sungai Petani, Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, dalam serbuan pada 11 pagi yang disertai Pegawai Penguat Kuasa Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 24 tahun dipercayai ahli sindiket terbabit turut ditahan.
“Operasi dijalankan susulan maklumat orang awam yang mengesyaki terdapat kegiatan memproses dadah di kilang haram berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak enam tahun lalu. Namun ujian pengesanan dadah pada ubat-ubatan itu didapati negatif.
“Tindakan selanjutnya dilakukan pegawai penguatkuasa farmasi dan mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen pengilang dan Sijil Amalan Pengilangan Baik daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk tujuan jualan,” katanya, semalam.
Katanya, produk yang dirampas juga disyaki mengandungi bahan terlarang serta steroid dan kesemua produk itu dipercayai untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.
Mohd Roze berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menyalurkannya kepada pihak polis.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya dan Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai juga dinasihatkan berwaspada dan tidak membeli produk ubat-ubatan tanpa label serta tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan yang mungkin berada dalam pasaran kerana dibimbangi mungkin berbahaya kepada kesihatan,” katanya.
— BERNAMA