
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Lebih ramai warga Labuan diseru untuk menceburi bidang pertanian bandar bagi menjana pertumbuhan ekonomi dalam kalangan penduduk tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Dr. Fary Akmal Osman, sebanyak 16 komuniti dan 160 peserta telah terlibat dalam program pertanian bandar di Labuan dan dipantau oleh Jabatan Pertanian.
“Program ini menerima bantuan kerajaan bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi merancakkan ekonomi negara semasa fasa pemulihan COVID-19.
“Projek ini memang mendatangkan hasil dan kadang kala boleh mencecah seribu ringgit sebulan, kita harap lebih ramai terlibat untuk bantu sektor pertanian di Labuan yang agak rendah dalam menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Labuan,” katanya yang ditemui semasa membuat lawatan ke Kebun Komuniti Kampung Layang-Layangan yang melaksanakan konsep tersebut, di sini semalam.

Fary (depan) melihat sendiri hasil tanaman berkonsepkan pertanian bandar di Kebun Komuniti Kampung Layang-Layangan, di sini.
PL juga katanya akan mengenal pasti kawasan tanah simpanan kerajaan yang tidak memerlukan prosedur yang rumit untuk dikhaskan kepada golongan belia yang berminat dengan konsep pertanian ini.
“Banyak manfaat jika para belia melibatkan diri dalam bidang ini seperti menyihatkan badan selain meningkatkan pendapatan selain merancakkan kembali ekonomi Labuan.
“PL juga akan sentiasa membantu dari segi aspek yang sesuai seperti mendirikan pondok jualan agar orang ramai boleh mendapatkan sayuran dan tanaman segar terus dari kebun komuniti yang ada di Labuan,” katanya lagi.
Program itu menyasarkan komuniti kampung, kawasan perumahan, institut pendidikan, agensi kerajaan dan swasta bagi sama-sama mengambil peranan dalam pelaksanaan pembangunan Bandar Hijau di Wilayah ini.
-SH