Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

100 Syarikat PKS Sertai Program AI4S

By 27 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 100 syarikat daripada pelbagai sektor mengambil bahagian dalam program Kecerdasan Buatan Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (AI4S) dengan beberapa projek perintis kecerdasan buatan (AI) akan dilaksanakan menerusi kit permulaan AI.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan jumlah kes kegunaan AI dan menunjukkan keupayaan AI dan potensi pulangannya kepada syarikat dan pelbagai entiti dalam ekonomi Malaysia.

“(Program) ini merupakan satu lagi kejayaan penting bagi MIDA untuk bekerjasama dengan syarikat yang kukuh seperti Intel Malaysia dan Axiomtek, iaitu rakan niaga kepada pelancaran kit permulaan AI pada Ogos 2020 menerusi rangkaian kerjasama dengan MIDA Taiwan, ibu pejabat MIDA dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya ketika pelancaran program itu secara maya hari ini.

Kit permulaan AI itu merupakan usaha MIDA untuk membawa teknologi Industri 4.0 yang sesuai untuk digunakan di organisasi pembuatan tempatan dan perusahaan lain.

Antara sektor yang disasarkan adalah jentera dan peralatan, integrasi sistem, produk plastik dan perkhidmatan dron.

Dua jurutera atau juruteknik daripada setiap syarikat akan menjalani siri modul latihan oleh Intel dan diselaraskan oleh MPC.

Tambahnya, para peserta kemudiannya perlu menyiapkan projek pelaksanaan perintis dalam operasi pembuatan masing-masing dalam tempoh tiga bulan daripada berakhirnya bengkel AI4S dan sesi amali.

Melangkah ke hadapan, Azman menyarankan Intel untuk membantu universiti di Malaysia untuk menyesuaikan dan menyediakan tenaga kerja pada masa depan yang bersedia memanfaatkan AI apabila mereka melangkah ke pasaran pekerjaan, sekali gus akan menjimatkan masa dan sumber bakal majikan mereka.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden Intel Corporation (Internet of Things Group) Eric WP Chan berkata AI menjadi teknologi yang membolehkan Internet Pelbagai Benda dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) untuk memulakan perjalanan digital mereka.

“(Program ini) memberi semangat kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk memulakan perjalanan IR4.0 mereka dengan AI sebagai teras transformasi.

“Ia turut memelihara ekosistem AI yang mampan, didorong oleh penggiat industri utama dan agensi kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda