Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

18 Kematian Terbaharu, Kes Kematian Harian Tertinggi

By 23 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Wabak COVID-19 di Malaysia meragut 18 lagi nyawa iaitu jumlah kematian tertinggi dilaporkan dalam sehari manakala 3,631 kes baharu dan 2,554 kes sembuh direkodkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan terbaharu ini menjadikan kes kematian akibat pandemik maut itu sehingga kini ialah 660, sementara kumulatif kes baharu 176,180 dengan kes aktif 42,814.

“Daripada jumlah kes baharu, 3,625 kes melibatkan kes penularan tempatan dan enam lagi kes import. Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 782 kes, diikuti Johor sebanyak 466 kes dan Sabah sebanyak 453 kes,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 semalam.

Beliau turut memperincikan 251 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 102 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 12 lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif di negara sehingga kini ialah 335.

Memperincikan mengenai kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan tujuh wanita dan 10 lelaki tempatan serta seorang lelaki bukan warganegara berusia antara 32 hingga 93 tahun.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan sembilan dari Selangor, tiga dari Sabah, dua dari Kuala Lumpur, dua dari Sarawak serta masing-masing satu kes dari Johor dan Pulau Pinang.

Bagi kes baharu setiap negeri selain Selangor, Johor dan Sabah, yang mencatat kes baharu tertinggi, Kuala Lumpur merekodkan 435 kes, Sarawak (229 kes), Pulau Pinang (202 kes), Negeri Sembilan (197 kes), Terengganu (178 kes), Kedah (166 kes), Kelantan (161 kes), Perak (138 kes), Melaka (62 kes), Pahang (61 kes), Putrajaya (39 kes), Labuan (29 kes) dan Perlis 13 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda