
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Sejumlah 2,433 kes harian baharu COVID-19 dilapor dengan sembilan kematian dan lima kluster baharu.
Jumlah kes sembuh pula sebanyak 1,277, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya COVID-19 di Malaysia ialah 108,109 kes iaitu 79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif ialah 135,992 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 27,332 kes.
“Daripada jumlah kes baharu yang dilapor hari ini, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula sebanyak 2,426 kes.
“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,784 kes adalah warganegara Malaysia dan 642 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 730 kes, diikuti Sabah 403 kes dan Johor (321 kes).
Dr Noor Hisham berkata kes kematian pula membabitkan enam lelaki termasuk dua bukan warganegara, serta tiga wanita warga Malaysia yang berusia antara 37 hingga 94 tahun, melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.
Beliau berkata sehingga kini terdapat 171 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 76 kes memerlukan bantuan pernafasan.
— BERNAMA