Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

62 Sukarelawan Jadi Kumpulan Pertama Terima Suntikan Vaksin COVID-19

By 31 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook KKM

PUTRAJAYA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 62 sukarelawan menjadi kumpulan pertama di negara ini yang menerima suntikan bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Kedah, semalam.

Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) HSAH Dr S.L Vijaya Kumar berkata semua sukarelawan dipilih daripada pelbagai latar belakang dan berusia 18 tahun ke atas serta memiliki tubuh badan yang sihat.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 375 individu yang disasarkan untuk program tersebut yang dijalankan secara berperingkat dalam tempoh sebulan di hospital berkenaan.

“Setiap sukarelawan akan menerima dua suntikan dan selepas suntikan pertama mereka akan dipantau setiap minggu selama enam minggu untuk melihat kesan penerimaan atau reaksi badan mereka terhadap suntikan itu,” katanya.

Beliau berkata selepas suntikan pertama, setiap peserta akan disuntik untuk kali kedua pada hari ke-14 dan selepas pemantauan enam minggu pertama, mereka akan dipantau lagi setiap dua minggu melalui panggilan telefon selama setahun.

Sementara itu, Dr Vijaya Kumar berkata orang ramai boleh mendaftar sebagai sukarelawan bagi kajian klinikal berkenaan dengan menghubungi talian 011-57669114.

Rabu lepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kajian itu dimulakan di sembilan hospital dengan melibatkan 3,000 sukarelawan.

Beliau dilaporkan berkata kajian klinikal itu ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan objektif untuk menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19.

Sembilan hospital terlibat dalam percubaan klinikal di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) itu terdiri daripada HSAH, Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping dan Hospital Sungai Buloh.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda