
Laporan/foto: Syed Hisham (Putrajaya)/BMS JaPen
PUTRAJAYA, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Menyedari usaha melindungi dan memulihara hidupan liar semakin mencabar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), telah melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi membanteras beberapa isu seperti pembalakan haram, pencerobohan hutan mahupun pemburuan hidupan liar.
Ketua pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata OBK ini telah dilaksanakan sejak awal September 2019 dan masih diteruskan hingga sekarang bagi menangani kesalahan jenayah bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
“Sebanyak 36 kertas siasatan telah dibuka melalui siri operasi OBK pada 2019 bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], Akta Perhutanan Negara 1984, Akta imigresesn 1959/63, Akta Senjata 1960, Enakmen Taman Negara Pahang (Pindaan) 2018 dan Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor, melibatkan 82 pesalah jenayah.
“Bagi tahun lalu pula sebanyak 20 operasi dilaksanakan dengan 76 kertas siasatan dibuka melibatkan 140 orang pesalah atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika ditemui sempena rakaman Program Influencer@JaPen, di sini.

Abdul Kadir (tengah) bersama-sama tenaga produksi Program Influencer@JaPen, ketika mempromosikan Kempen Selamatkan Harimau Malaya melalui program tersebut, baru-baru ini.
Menurutnya, pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan jabatan tersebut dalam memulihara spesis hidupan liar di negara ini antaranya adalah pelaksanaan Program Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3).
“Kekuatan anggota jabatan dipertingkatkan melalui pelantikan 570 anggota terdiri daripada Veteran angkatan Tentera (VAT), Veteran PDRM dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar yang memberi tumpuan kepada operasi di kawasan pinggir atau sempadan hutan.
“Hasrat kita adalah untuk mencegah orang ramai daripada melakukan kegiatan-kegiatan seperti pemasangan jerat, pembunuhan dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Kadir turut mengulas pelaksanaan National Tiger Survey (NTS) yang telah tamat sempena Kempen Selamatkan Harimau Malaya dan akan diumumkan dapatannya tidak lama lagi.
“Kita telah selesai melaksanakan tinjauan tersebut di kawasan seluas lebih kurang 40 ribu kilometer persegi pada hujung November lalu dan datanya sedang dianalisis dan kemungkinan dalam masa terdekat akan diumumkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.
Video temubual penuh boleh disaksikan di https://youtu.be/dvZclvuHVes
-SH