
Laporan/foto: Syed Hisham (Putrajaya)/Kementerian Kesihatan Malaysia
PUTRAJAYA, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, menyampaikan sumbangan bantuan mewakili Jemaah Menteri Kabinet kepada Mohamad Nor Atho’ullah, 11, dan adik-beradiknya yang lain yang tular baru-baru ini kerana kehilangan bapanya akibat COVID-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut melalui akaun facebook rasmi mereka, Adham mengucapkan takziah atas kehilangan bapa mangsa dan berharap seluruh ahli keluarga tersebut tabah menghadapi keadaan itu.
“Saya ucapkan takziah kepada semua, semoga Allah SWT menempatkan arwah dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya ketika menziarahi mangsa di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, hari ini.
Nur Kamilatul Alifah, 26, kakak kepada Nor Atho’ullah merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan dan sumbangan yang disampaikan oleh barisan Jemaah Menteri Kabinet.
Mohamad Nor Atho’ullah bersama-sama ahli keluarganya yang lain kini telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada PKRC.
Adham turut meninjau kesiapsiagaan MAEPS sebagai PKRC dalam menghadapi gelombang ketiga COVID-19 selepas itu.
-SH