
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Erzufariza Zulkifly (Pahang)
MARAN, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama-sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskamdariah berkenan mencemar duli mengadakan lawatan mengejut ke Daerah Maran bagi melawat mangsa banjir, semalam.
Turut berangkat Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Ketika pembentangan taklimat bencana banjir daerah Maran oleh Pegawai Daerah Maran, Saharuddin Jali.
Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa untuk melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran dengan 388 mangsa banjir.
Baginda juga turut mengurniakan sumbangan wang tunai kepada mereka yang terjejas akibat banjir bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Seri Paduka Baginda turut bertitah menasihati mangsa banjir untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diperintahkan oleh kerajaan bagi mencegah penularan COVID-19 serta bertitah agar rakyat sentiasa berwaspada dan menjaga diri ketika musim hujan.
Pegawai Daerah Maran, Saharuddin Jali dalam pembentangan taklimat bencana banjir daerah Maran berkata sehingga 4 Januari 2021, jumlah Pusat Pemindahan Banjir yang masih dibuka adalah sebanyak 32 yang melibatkan 1254 ketua isi rumah dan seramai 4455 orang mangsa.
“Jumlah semakin bertambah ekoran dari limpahan air di Sungai Pahang yang semakin meningkat.
“Tindakan awal Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang terlibat seperti Agensi kerajaan antaranya Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Institusi Penghulu bersama jentera-jentera Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) digerak dan diaktifkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan kejadian banjir,” katanya.
-KN