
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus(Labuan)/APMM Labuan
LABUAN, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah kapal utiliti yang berdaftar di Malaysia kerana berlabuh tanpa kebenaran di posisi 0.5 batu nautika tenggara Manjarasa, Labuan.
Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Nudin Jusoh, berkata kapal utiliti itu dikendalikan 15 kru termasuk nakhoda telah ditahan pada lebih kurang pukul 9.50 pagi tadi dalam Op Khas Bersama.
“Semasa pemeriksaan ke atas kapal terbabit, nakhoda gagal mengemukakan sebarang bukti kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia menyebabkan kapal itu ditahan manakala nakhoda berserta dokumen kapal dibawa ke Pejabat Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 419 B, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika melakukan operasi, di sini hari ini.
Jelas Nudin, bersauh tanpa kebenaran serta bersauh di luar kawasan yang dibenarkan merupakan antara kesalahan yang sering dilakukan oleh kapal-kapal komersial.
“Justeru itu, Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua syarikat perkapalan tempatan dan antarabangsa, terutamanya ejen-ejen yang menguruskan kapal agar sentiasa mematuhi undang-undang seperti yang telah diwartakan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Tambahnya, Op Khas Bersama yang menyasarkan kapal-kapal komersial, terutamanya kapal dagang dan kapal utiliti itu merupakan kerjasama antara Zon Maritim Labuan dengan Jabatan Laut Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan tiada salah laku atau perlanggaran Undang-Undang Persekutuan Malaysia terutamanya melibatkan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di perairan Labuan.
“Pemeriksaan, penguatkuasaan serta tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan sebarang salah laku yang melanggar undang-undang.
“Operasi-operasi khas dengan penglibatan serta kerjasama agensi-agensi lain seperti ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam memastikan keamanan dan keselamatan perairan negara,” tambahnya.
-SH