
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyampaikan sumbangan “Back to School” kepada golongan kurang berkemampuan di wilayah tersebut bagi mengurangkan beban ibubapa dalam menyediakan keperluan persekolahan kepada anak-anak dengan menjayakan program ‘Ketengah Ambik Cakne’.
Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris, berkata program sebegini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ketengah melalui anak syarikatnya yang melibatkan peruntukan sebanyak RM211,500.00 secara keseluruhannya.

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris ketika menyampaikan ucapan di Dewan Orang Ramai Ketengah Jaya dalam program ‘Ketengah Ambik Cakne’.
“Sembilan lokasi telah dipilih dalam Wilayah Ketengah melibatkan seramai 1,860 orang pelajar sekolah rendah dan menengah masing-masing akan menerima wang tunai RM100 dan RM150 setiap seorang.
“Sumbangan yang diberikan ini adalah khusus untuk membeli peralatan sekolah untuk anak-anak pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.
“Diharapkan sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang menerimanya tambahan pula kebanyakan penduduk terjejas akibat banjir yang melanda kawasan Pantai Timur,” katanya ketika berucap di Dewan Orang Ramai Ketengah Jaya, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Datuk Razali turut mengingatkan komuniti agar terus menggunakan aplikasi media sosial bagi mempromosikan keunikan tempat dan makanan khususnya yang boleh menarik pengunjung hadir bagi menikmati hidangan mahupun keindahan yang ada di Bukit Besi yang merupakan bandar bersejarah serta wilayah Ketengah.
“Peluang ini sedikit sebanyak akan menjana pendapatan kepada penduduk dengan kehadiran pelancong ke tempat kita,”katanya.
Bagi Noriah Jusoh, 46, yang hadir menerima bantuan bagi pihak cucunya yang merupakan anak yatim berasa terharu dengan keprihatinan pihak Ketengah
“Melalui bantuan yang diberikan terutamanya pada situasi sekarang yang agak terbatas untuk keluar mencari rezeki dengan cuaca yang tidak menentu dan penularan wabak COVID-19 yang masih belum ada penghujungnya merupakan sesuatu yang cukup diharapkan.

Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris (dua dari kanan) bersama ADUN Bukit Besi, Roslee Daud bergambar dengan salah seorang penerima sumbangan.
“Sudah pasti sumbangan ini akan memberikan senyuman kepada cucu saya untuk membeli kelengkapan persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, bagi Azman Yusof, 45, yang mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah berkata bantuan yang diterima pastinya memberi sedikit kelegaan bagi urusan persekolahan anak-anaknya.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak Ketengah yang telah menyumbang dan sentiasa mengambil cakna kepada kebajikan masyarakat di sini,”

Azman Yusof, 45 berterima kasih kepada pihak Ketengah yang telah menyumbang sentiasa mengambil cakna kepada kebajikan masyarakat di sini.
Pihak Ketengah kini giat mempromosikan Tasik Kenyir bersempena penganjuran Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021) yang julung kali diadakan tahun ini dengan menggunakan slogan ‘Kenyir Semulajadi’ bagi mengangkat Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan.
-ii-