Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Belia Terjemahkan Integrasi Perpaduan Kaum Melalui Lukisan Mural

By 11 Januari 2021Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan/Mohd Radzi Sayoti (Segamat)

SEGAMAT, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Perpaduan Negara dan Majlis Belia Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Segamat telah menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Lukisan Mural Program Integrasi Perpaduan Kaum(PERSIK) Pasca COVID-19 Segamat, di sini semalam.

Menurut Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali, walaupun dalam suasana negara masih menghadapi pandemik COVID-19 majlis ini dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

“Umum mengetahui, pandemik COVID-19 bukan saja mengancam nyawa dan tahap kesihatan, tetapi mengubah sama sekali cara dan gaya hidup manusia di seluruh dunia termasuklah di negara kita.

“Saya amat berharap, masyarakat daripada pelbagai agama, kaum dan peringkat umur dapat mematuhi arahan yang telah ditetapkan Kerajaan dari masa ke semasa bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Tambah beliau, pelaksanaan program ini telah dijalankan pada penghujung tahun 2020 dan majlis penyampaian hadiah pada hari ini telah membuktikan bahawa, walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19 ia bukanlah penghalang untuk menjalankan sebarang aktiviti atau program untuk pembangunan belia.

Ahmad Farhannuddin Othman, Johan Pertandingan Lukisan Mural Program Integrasi Perpaduan Kaum(PERSIK) Pasca COVID-19 Segamat.

Ahmad Farhannuddin Othman, Johan Pertandingan Lukisan Mural Program Integrasi Perpaduan Kaum(PERSIK) Pasca COVID-19 Segamat.

“Diharap pada masa akan datang, program-program anjuran Majlis Belia Daerah Segamat dapat diadakan dengan penglibatan dan kerjasama daripada jabatan serta agensi-agensi yang berkaitan.

“Kerjasama ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan di kalangan golongan belia bagi membantu usaha pembangunan dan pemulihan ekonomi serta meningkatkan prestasi belia agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan dari segi mental serta fizikal dalam mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran,” ujarnya.

Nasri turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan berharap ia akan menjadi pembakar semangat kepada golongan belia untuk terus berani menyahut cabaran menyertai sebarang pertandingan yang dapat menyerlahkan kreativiti mereka.

“Program-program seumpama ini perlu diteruskan dan ditambahbaik pengisiannya dengan penglibatan para belia dari pelbagai bangsa dan kaum agar semangat perpaduan dapat disemai sebagai jati diri penyatuan bangsa,”ujarnya lagi.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat Mohd Faiz Mohamad, berkata program ini telah dijalankan pada tahun lepas iaitu pada 15 hingga 25 Disember 2020 di tiga Parlimen iaitu Parlimen Segamat, Parlimen Sekijang dan Parlimen Labis dengan pembahagian di lima lokasi DUN dalam Daerah Segamat iaitu Dataran Putra Felda Palong Timur, Pondok Bakti Kampung Kenangan Batu Anam, Felda Pemanis, Felda Kemelah dan Dewan Bukit Mambai.

“Pertandingan lukisan mural ini merupakan platform terbaik untuk menyemarakkan semangat bersaing secara sihat dan menyerlahkan kreativiti golongan belia dalam bidang seni lukisan yang bercirikan nilai-nilai perpaduan kaum pasca COVID-19.

“Saya juga ingin menyampaikan titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya kita menjaga keharmonian dan perpaduan antara penduduk di Malaysia khususnya di negeri ini dan ia perlu diterapkan dalam diri masyarakat terutamanya belia bangsa Johor,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Belia Batu Anam Ahmad Farhannuddin Othman ,31, yang juga merupakan Johan Pertandingan Lukisan Mural Program Integrasi Perpaduan Kaum(PERSIK) Pasca COVID-19 Segamat, mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara, Pejabat Penerangan Daerah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah dan Majlis Belia Daerah yang membuka peluang untuk mereka menyertai pertandingan lukisan mural ini.

“Karya lukisan mural ini merupakan hasil air tangan anak-anak muda Batu Anam dan ia telah berjaya disiapkan dalam masa tujuh hari.

“Kemenangan ini adalah kemenangan milik semua dan ia menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus berbakti kepada masyarakat setempat khasnya di daerah Segamat,” katanya.

Beliau amat berharap program seumpama ini dapat diadakan lagi kerana ia merupakan langkah terbaik bagi menyemarakkan lagi semangat golongan muda untuk terus berkolaborasi dengan persatuan-persatuan belia.

Turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Mohd Sahir Ali Huddin, Pegawai Penerangan Daerah Nor Sofian Abdul Manan, Pengerusi Majlis Belia Daerah Mohd Faiz Mohamad, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Maizatul Asrul Mohd Yunus.

-NI-

Tinggalkan komen anda