Skip to main content
Berita TimurTerengganu

GKP Permai Beri Nafas Baharu Buat Pengusaha Kecil-Kecilan

By 29 Januari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: RA Othman/Afnan Hakimi (Marang)

MARANG, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Pengumuman pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) Permai oleh Perdana Menteri baru-baru ini sebanyak RM1,000 secara sekali beri bagi negeri-negeri bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi nafas baharu buat sebilangan peniaga kecilan dan sederhana di sekitar Marang.

Malah, nilai sebanyak RM1,000 adalah khas untuk negeri-negeri PKP sangat-sangat munasabah dan memadai jika dibandingkan dengan negeri yang tidak berada di bawah PKP yang mendapat RM500 sahaja.

Pengumuman tersebut memberi kelegaan buat seorang peniaga sayur merangkap Pengerusi Pasar Bukit Payong iaitu Amran Mamat, 50, yang mana semenjak bermula PKP pada Mac tahun lalu, perniagaannya agak terjejas.

“Apabila kerajaan hendak memberi GKP Permai buat peniaga kecil macam saya, ini adalah suatu rahmat dan rezeki yang sangat berharga buat masa ini.

Amran Mamat, 50, peniaga sayur di Pasar Bukit Payong mengatakan rata-rata peniaga di sini terkesan dengan PKP yang dilaksanakan.

Amran Mamat, 50, peniaga sayur di Pasar Bukit Payong mengatakan rata-rata peniaga di sini terkesan dengan PKP yang dilaksanakan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah banyak membantu meringankan kesusahan kami yang agak tersepit dengan keadaan ekonomi pada masa kini,” menurut beliau yang turut menerima GKP 1.0 dan 2.0 pada tahun lepas.

Katanya, ramai dalam kalangan peniaga di Pasar Bukit Payong turut terkesan dan terjejas pendapatannya akibat kekangan keadaan dan terikat dengan peraturan dan arahan PKP yang telah dikuatkuasakan.

Seorang lagi pengusaha kecilan yang bakal menerima GKP Permai iaitu Mohammad Aqil Asyraf Nasaruddin, 25, yang merupakan seorang penjaja makanan di sekitar Bandar Marang meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kerana beliau turut layak mendapat pemberian ini yang disifatkan sebagai ‘penyambung tali hayat’ rezeki keluarganya yang turut bergantung sumber pendapatan dan bekalan harian dengan beliau.

“Syukur yang tidak terkira kerana dalam keadaan PKP kali ini, saya betul-betul tertekan dengan hasil jualan makanan seperti mempelam asam boi dan jambu asam boi yang merosot dengan anggaran sehari antara tiga ke enam bekas sahaja jika dibandingkan sebelum ini, 20 bekas boleh habis dalam masa beberapa jam sahaja,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohammad Aqil Asyraf Nasaruddin, 25, terpaksa berusaha keras demi mencari sesuap nasi untuk keluarga kerana kemerosotan jualan pelam asam boi.

Mohammad Aqil Asyraf Nasaruddin, 25, terpaksa berusaha keras demi mencari sesuap nasi untuk keluarga kerana kemerosotan jualan pelam asam boi.

Tambah beliau lagi, bantuan RM1,000 yang dijangka diagihkan pada bulan Mac nanti sedikit sebanyak boleh menampung perbelanjaan beliau sekeluarga memandangkan kemerosotan hasil jualan sekarang amat memeritkan kerana terpaksa mencari pendapatan lain selain daripada menjual asam boi yang telah dianggap sebagai kerja tetap beliau.

GKP Permai ini bukan sahaja sebagai langkah membendung kemerosotan ekonomi para pengusaha kecil dan sederhana, malah hasrat kerajaan adalah lebih kepada ingin memastikan rakyatnya sentiasa dalam perhatian dan pertimbangan yang wajar walaupun dalam keadaan tertekan seperti ini akibat wabak COVID-19.

-ii-

Tinggalkan komen anda