Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Hari Terbuka Hala Tuju SMJ Kumpul Maklum Balas

By 13 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Farhan Tahip/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri semalam mengadakan Majlis Hari Terbuka sesi Libat Urus Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) bertujuan mendapatkan maklum balas bagi memastikan pelan pembangunan negeri dapat dilaksanakan sebaiknya.

Ketua Menterinya Datuk Hajiji Noor, berkata majlis tersebut merupakan langkah ketiga proses merangka Hala Tuju SMJ kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah, di mana sebelum ini pelan tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet, diikuti dengan Sesi Libat Urus dengan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Hari Terbuka Libat Urus: Hala Tuju SMJ ini bertujuan mengumpul maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan, termasuk golongan pelajar bagi memastikan SMJ benar-benar memenuhi aspirasi rakyat, merangkumi semua golongan dan kategori,” katanya ketika merasmikan program, di sini.

Hajiji (tengah) menerima buku pertama hala tuju Sabah Maju Jaya.

Hajiji (tengah) menerima buku pertama hala tuju Sabah Maju Jaya.

Beliau turut mengatakan bahawa kerajaan negeri tidak akan berfungsi dengan baik dan berkesan tanpa hala tuju atau matlamat yang jelas.

“Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mempunyai satu hala tuju yang komprehensif, hala tuju yang holistik dan hala tuju yang menjadi keutamaan kita dalam mengurus dan mentadbir negeri.

“Ketiadaanya boleh menyebabkan kegagalan dalam pentadbiran kerana matlamat atau keutamaan tidak dijelaskan dan pembangunan tidak dititikberatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru semua anggota perkhidmatan awam agar mengambil berat, memandang serius, serta memberikan kerjasama dan komitmen bagi menjayakan pelan pembangunan tersebut.

Beliau juga berharap majlis tersebut akan mencapai sasarannya sebagai persediaan sebelum memasuki langkah keempat Hala Tuju SMJ.

-SH

Tinggalkan komen anda