
Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution/Muhammad Shariffuddin Saedin (Seremban)
SEREMBAN, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Pihak Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sangat menghargai usaha dan pengorbanan masa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi-agensi luar yang menyampaikan bantuan makanan kering dalam menyantuni pesakit COVID-19 dan petugas barisan hadapan di hospital berkenaan.
Menurut Pegawai Penyediaan Makanan HTJ, Nur Amrella Abdullah, pihaknya amat berterima kasih dan menghargai semua penyumbang.
“Kami amat menghargai setiap sumbangan yang diberikan, tetapi sumbangan kepada pesakit dan pasukan barisan hadapan perlulah mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.
“Nasihat kami agar NGO atau agensi luar tidak memberi makanan sedia dimakan atau basah seperti nasi, namun, kami mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyumbangkan makanan ringan seperti biskut, roti dan serbuk minuman segera 3 dalam 1,” katanya ketika menerima sumbangan bekalan tersebut, di sini baru-baru ini.
Tambah Amrella, orang ramai yang ingin menyumbang boleh berhubung secara terus dengan Pegawai Perhubungan Awam HTJ di talian 011-11729765.
-AK